Pusat Perkembangan Kurikulum

23 Mei 2013

Hari Guru 2013

Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah
23 Mei 2013 ( Khamis) - Majlis turut diserikan dengan kehadiran YDP PIBG dan wakil PIBG SK St Joseph.

Berdiri menyanyikan lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku

Adik Muhd Radzy Syamsuar(Ketua Pelajar) - menyampaikan ucapan

Kumpulan Koir Sekolah (Johan Daerah Papar 2013)

Anugerah Pemiliham Murid

22 Mei 2013

Ucapan Hari Guru



oleh Mohd Radzi Syamsuar (Ketua Pelajar)

Yang berusaha Puan Christina D Kari , Guru Besar SK St Joseph Papar, Yang dihormati, PK Kurikulum, Encik Chong Pin Sun, PK Hal Ehwal Murid, Puan Darmata Hj Matlan, PK Kokurikulum Puan Lasminah Hj Lamin , Penyelia Petang, Puan Suina Sundongi, barisan guru-guru yang diraikan seterusnya para pelajar yang saya hormati sekalian.

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Illahi, kerana dengan limpah kurniaNYA, dapat kita berhimpun pada hari ini bagi meraikan insan yang telah berusaha keras, mengerah kudrat,memerah keingat dalam usaha menurunkan ilmu kepada kita semua. Merekalah guru-guru berjasa yang amat kita sayangi.

Guru-guru dan rakan-rakan sekalian,
Perlu kita ingat bahawa gurulah titik awal pengaliran ilmu di dalam diri kita. Peranan guru bukan sahaja untuk menurunkan ilmu bahkan berperanan membentuk sahsiah dan akhlak kita semua .Seorang guru bolehlah dianggap  adalah seorang jurutera sosial kerana bidang pendidikan adalah peneraju dalam membangunkan modal insan yang berpengetahuan,berkemahiran dan berperibadi mulia.Justeru, sesuailah pemilihan tema pada tahun ini iaitu, “ Guru Malaysia, 1 Aspirasi, 1 Agenda”

Rakan-rakan sekalian,
Hormatilah guru yang telah banyak berjasa, berbakti dan mencurahkan ilmu pengetahuan. Guru boleh diibaratkan sebagai ibu bapa kita yang kedua yang berupaya mencorakkan masa depan kita. Patuhilah arahan mereka dan amalkanlah tunjuk ajar dan nasihat untuk panduan hidup kita.

Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua guru yang mengajar saya dan rakan-rakan dengan usaha yang berterusan penuh dengan semangat ketekunan, kecekalan, kegigihan dan penuh dedikasi . Terima kasih cikgu! Pengorbanan dan segala jasa cikgu akan terpahat dalam hati  selagi hayat dikandung badan. Seterusnya, maafkan kami atas kekasaran ,segala salah laku dan  sesuatu yang mengguris perasaan cikgu. Sesungguhnya kami ini insan yang masih memerlukan bimbingan daripada guru-guru semua.

Hadirin sekalian,
Sambutan Hari Guru amat bermakna kepada semua warga pendidik. Hari Guru bukan sahaja meraikan jasa dan pengorbanan guru-guru, tetapi juga menjadi dorongan kepada semua warga pendidik untuk terus memperjuangkan dan meningkatkan kualiti mengajar. Hal yang demikian dapat meningkatkan bilangan ilmuwan di negara kita.

Seterusnya, mari kita panjatkan doa  agar sekolah kita terus cemerlang dan lebih gagah menghadapi cabaran serta mencapai visi kita dalam melahirkan modal insan yang berdikari, berwaja diri dan berjasa kepada negara. Bersama kita berpadu tenaga, warga pendidik, para ibu bapa dan murid-murid meneruskan usaha murni ini. Semoga segala pengorbanan guru ini akan menjadi amal soleh yang akan memberikan pahala yang berterusan dan berkekalan.

Sebelum mengakhiri ucapan ini, izinkan saya membacakan  beberapa bait kata daripada sajak nukilan Usman Awang.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

“Teachers that love to teach.....Create kids that love to learn ....
“Guru yang suka mengajar ....akan melahirkan murid yang suka belajar”
Akhir kata  daripada saya, “Terima kasih cikgu! “

Sekian terima kasih.

09 Mei 2013

Kesantunan Guru


Kesantunan  guru bermaksud tatacara, adat atau kebiasaan yang berlaku dalam masyarakat. Kesantunan merupakan aturan perilaku yang ditetapkan dan disepakati bersama oleh sesuatu kelompok masyarakat tertentu sehingga kesantunan tersebut sekali gus menjadi prasyarat yang disepakati oleh perilaku sosial. Oleh yang demikian, usaha membentuk kesantunan dalam kalangan murid bermula dengan kesantunan yang dipamerkan oleh guru itu terlebih dahulu.

Berdasarkan pengertian di atas, kesantunan guru dapat dilihat dari pelbagai segi dalam pergaulan dan perhubungan antara guru dengan murid, guru dengan rakan sejawat, guru dengan pihak pengurusan sekolah dan perhubungan guru dengan masyarakat setempat.

Berdasarkan perkembangan semasa dalam profesional keguruan, kesantunan dapat dibahagikan kepada tiga iaitu:
i.              Kesantunan berpakaian
ii.            Kesantunan tingkah laku
iii.           Kesantunan berbahasa




Dalam kesantuan berpakaian, beberapa perkara perlu diberi perhatian oleh guru. Kesantunan berpakaian merujuk kepada  jenis pakaian yang digunakan, fesyen pakaian dan juga solekan. Guru haruslah berpakaian yang sopan sesuai dengan etika berpakaian yang disarankan dalam Peraturan Tatatertib dan Kelakaun bagi penjawat awam.Guru tidak boleh berpakaian yang merangsang orang lain terutamanya dari segi jantina yang berbeza contohnya berpakaian pakaian tembus pandang (transparence), menampakkan bahagian badan, blause yang terlalu mini atau terbelah terlalu tinggi.

Kesantunan tingkahlaku adalah merujuk tatacara bertindak atau gerak geri guru ketika menghadapi sesuatu dalam situasi tertentu. Contohnya: ibu bapa yang datang berurusan di sekolah,berkunjung ke sekolah yang atas sebab urusan,duduk di dalam kelas,berhadapan dengan orang yang kita hormati seperti guru besar atau pegawai  dari jabatan,berjalan di tempat umum dan sebagainya.

Semua situasi yang dinyatakan di atas memerlukan tingkah laku yang berbeza. Sebagai contohnya pada waktu makan bersama misalnya, memerlukan kesantunan dalam cara duduk, cara mengambil makanan, cara makan atau mengunyah, cara menggunakan senduk, cara membersihkan mulut setelah makan dan  cara memakai tusuk gigi .

Cara berbahasa amat penting dikuasai oleh guru untuk kelancaran berkomunikasi. Dengan mengetahui cara berbahasa seseorang guru akan dapat menyampaikan mesej dengan jelas dalam komunikasi tersebut khususnya ketika melaksanakan pengajaran.

Kesantunan berbahasa tercermin dalam cara berkomunikasi  sama ada dari segi verbal atau cara berbahasa. Ketika berkomunikasi, guru perlu mengambil kira norma-norma budaya dan tidak hanya sekadar menyampaikan idea yang difikirkan sahaja.Cara berbahasa harus disesuaikan dengan unsur-unsur budaya yang ada dalam masyarakat setempat. Perkataan atau bahasa yang digunakan perlulah sesuai dengan situasi ketika berkomunikasi. Guru yang tidak dapat menggunakan kesantunan berbahasa dengan betul mungkin akan dianggap sebagai seorang yang sombong, angkuh, tak acuh, egois, tidak beradat, bahkan tidak berbudaya.
          
Kesantunan berbahasa ini perlu dikuasai oleh guru kerana melalui kesantunan ini guru akan mengetahui:-
i.      Apa yang  sebaiknya diucapkan pada waktu dan keadaan tertentu.
ii.    Ragam bahasa yang sewajarnya digunakan dalam situasi tertentu.
iii.   Bila dan bagaimana giliran berbual dimulakan.
iv.   Bagaimana mengatur kelantangan suara ketika berkomunikasi.
v.    Bagaimana sikap dan gerak-geri ketika berkomunikasi
vi.   Bila  seharusnya diam dan menamatkan perbualan.

Cara berbahasa seseorang guru dipengaruhi oleh norma-norma budaya atau kelompok masyarakat tertentu. Contohnya orang Kelantan berbeza dengan cara berbahasa orang Pulau Pinang meskipun mereka sama-sama berbahasa Melayu. Hal ini menunjukkan kebudayaan yang menjadi darah daging pada seseorang itu berppengaruh pada pola bahasanya.Oleh itu seorang guru seharusnya mengetahui  dan memahami norma-norma bahasa sebelum menggunakannya ketika berhadapan dengan murid-murid. Perkara ini amat penting kerana cara berbahasa mengikut norma-norma budaya akan menghasilkan kesantunan berbahasa.

Selain itu kesantunan tutur kata, senyuman manis dan tulus  serta sapaan berbentuk pujian merupakan aspek kesantunan yang diberi perhatian oleh seseorang yang berilmu dan terpuji akhlaknya. Guru menjadi sebahagian orang yang dimaksudkan tersebut. Guru seharusnya menjaga tutur katanya agar sentiasa mengamalkan kesantunan bahasa dan mampu memiliki bahasa yang santun dan sesuai kepada muridnya, walaupun murid menunjukkan tingkahlaku yang bermasalah. Guru juga menjadi tauladan bagi murid dengan menerapkan prinsip kesantunan dalam setiap tutur katanya.

Kesantunan berbahasa menjadi pemangkin kepada pembentukan keperibadian murid. Ciri-ciri kesantunan termasuklah;
i.      Ikhlas, jujur, baik hati, penyayang dan sanggup berjuang.
ii.    Bersyukur dan berterima kasih.
iii.   Berani, tegas dan mengelakkan perkara keji daripada berlaku .
iv.   Menghargai dan menghormati pihak lain.
v.    Menggunakan kata-kata yang baik.
vi.   Peramah, pemurah dan bersedia membaiki   kelemahan diri .

Kesimpulannya kesantunan bukanlah sesuatu yang dipelajari tetapi merupakan nilai yang perlu ada dalam diri seorang guru sebagai model kepada murid. Bagi menjaga imej profesion, setiap guru perlu patuh kepada etika profesionalisme, etika pengajaran, etika tingkah laku dan etika perkhidmatan awam (Abd. Rahim, 2007)

Lokasi Sekolah