Pusat Perkembangan Kurikulum

22 Mei 2013

Ucapan Hari Guru



oleh Mohd Radzi Syamsuar (Ketua Pelajar)

Yang berusaha Puan Christina D Kari , Guru Besar SK St Joseph Papar, Yang dihormati, PK Kurikulum, Encik Chong Pin Sun, PK Hal Ehwal Murid, Puan Darmata Hj Matlan, PK Kokurikulum Puan Lasminah Hj Lamin , Penyelia Petang, Puan Suina Sundongi, barisan guru-guru yang diraikan seterusnya para pelajar yang saya hormati sekalian.

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Illahi, kerana dengan limpah kurniaNYA, dapat kita berhimpun pada hari ini bagi meraikan insan yang telah berusaha keras, mengerah kudrat,memerah keingat dalam usaha menurunkan ilmu kepada kita semua. Merekalah guru-guru berjasa yang amat kita sayangi.

Guru-guru dan rakan-rakan sekalian,
Perlu kita ingat bahawa gurulah titik awal pengaliran ilmu di dalam diri kita. Peranan guru bukan sahaja untuk menurunkan ilmu bahkan berperanan membentuk sahsiah dan akhlak kita semua .Seorang guru bolehlah dianggap  adalah seorang jurutera sosial kerana bidang pendidikan adalah peneraju dalam membangunkan modal insan yang berpengetahuan,berkemahiran dan berperibadi mulia.Justeru, sesuailah pemilihan tema pada tahun ini iaitu, “ Guru Malaysia, 1 Aspirasi, 1 Agenda”

Rakan-rakan sekalian,
Hormatilah guru yang telah banyak berjasa, berbakti dan mencurahkan ilmu pengetahuan. Guru boleh diibaratkan sebagai ibu bapa kita yang kedua yang berupaya mencorakkan masa depan kita. Patuhilah arahan mereka dan amalkanlah tunjuk ajar dan nasihat untuk panduan hidup kita.

Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua guru yang mengajar saya dan rakan-rakan dengan usaha yang berterusan penuh dengan semangat ketekunan, kecekalan, kegigihan dan penuh dedikasi . Terima kasih cikgu! Pengorbanan dan segala jasa cikgu akan terpahat dalam hati  selagi hayat dikandung badan. Seterusnya, maafkan kami atas kekasaran ,segala salah laku dan  sesuatu yang mengguris perasaan cikgu. Sesungguhnya kami ini insan yang masih memerlukan bimbingan daripada guru-guru semua.

Hadirin sekalian,
Sambutan Hari Guru amat bermakna kepada semua warga pendidik. Hari Guru bukan sahaja meraikan jasa dan pengorbanan guru-guru, tetapi juga menjadi dorongan kepada semua warga pendidik untuk terus memperjuangkan dan meningkatkan kualiti mengajar. Hal yang demikian dapat meningkatkan bilangan ilmuwan di negara kita.

Seterusnya, mari kita panjatkan doa  agar sekolah kita terus cemerlang dan lebih gagah menghadapi cabaran serta mencapai visi kita dalam melahirkan modal insan yang berdikari, berwaja diri dan berjasa kepada negara. Bersama kita berpadu tenaga, warga pendidik, para ibu bapa dan murid-murid meneruskan usaha murni ini. Semoga segala pengorbanan guru ini akan menjadi amal soleh yang akan memberikan pahala yang berterusan dan berkekalan.

Sebelum mengakhiri ucapan ini, izinkan saya membacakan  beberapa bait kata daripada sajak nukilan Usman Awang.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

“Teachers that love to teach.....Create kids that love to learn ....
“Guru yang suka mengajar ....akan melahirkan murid yang suka belajar”
Akhir kata  daripada saya, “Terima kasih cikgu! “

Sekian terima kasih.

Tiada ulasan:


Lokasi Sekolah