Pusat Perkembangan Kurikulum

19 April 2012

BAHASA MELAYU PENULISAN- BAHAGIAN C

SOALAN 1
Tulis beberapa nilai atau pengajaran yang kamu boleh dapati daripada petikan di bawah ini. Panjang jawapan kamu mestilah tidak kurang daripada 50 patah perkataan. Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.

Sudah tiga hari Cikgu Adira tidak datang ke sekolah. Hati Fatihah tertanya-tanya tentang gurunya itu. Sakitkah dia ? Jika sakit, sakit apa ? Rasa ingin tahu dan rindu terhadap guru itu berbaur di hatinya. Rumah Cikgu Adira selang 12 rumah dari rumahnya dan kini rumah guru yang disayangi itu sudah berada di depannya.
        Setelah dua kali memberi salam, akhirnya pintu terbuka. Apabila pintu terbuka, alangkah terkejutnya dia melihat wajah Cikgu Adira yang sugul dan pucat.
        “Saya datang hendak melawat cikgu. Saya risau memikirkan cikgu,” kata Fatihah, ikhlas. Cikgu Adira tersenyum. Kata-kata anak muridnya itu berjaya menghiburkan hatinya. Setelah dibenarkan masuk, Fatihah masuk ke rumah teres dua tingkat itu.
        “Cikgu tidak berapa sihat. Cikgu berharap sepanjang cikgu tiada, anak-anak murid cikgu tetap tekun belajar,” kata Cikgu Adira. Fatihah mengangguk mendengar kata-kata cikgunya itu.

SOALAN 2
Tulis beberapa nilai atau pengajaran yang kamu boleh dapati daripada petikan di bawah ini. Panjang jawapan kamu mestilah tidak kurang daripada 50 patah perkataan. Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.
 
Kehilangan ayahnya meninggalkan kesan dalam hidup Razali. Kini, dia menjalani kehidupan yang amat mencabar sebagai anak yatim. Walau bagaimanapun, dia tetap meneruskan persekolahan kerana itu merupakan amanah arwah ayahnya yang berkehendakkan Razali belajar bersungguh sungguh hingga berjaya.
Kejayaan sebenarnya bukan datang bergolek, tetapi perlu ditagih melalui usaha gigih tanpa mengenal jemu. Razali tidak menjadikan kemiskinan sebagai alasan untuk mengabaikan pelajaran. Demi mencapai kejayaan, dia terpaksa berpisah sementara dengan ibu dan tiga orang adiknya. Dia tinggal di Rumah Anak-anak Yatim Semai Bakti. Dia ingin membuktikan bahawa murid miskin mampu mencapai keputusan akademik yang cemerlang.
Hari  demi  hari  Razali  berusaha  gigih  untuk  mencapai  keputusan  yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR nanti. Dia tidak mahu menghampakan harapan ibunya. Razali bertekad untuk mencapai cita-citanya menjadi seorang peguam pada suatu hari nanti.

SOALAN 3
Tulis beberapa nilai atau pengajaran yang kamu boleh dapati daripada petikan di bawah ini. Panjang jawapan kamu mestilah tidak kurang daripada 50 patah perkataan. Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.


SUBANG JAYA,6 Mei – Datuk Zawawi Mohd Zain,Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor telah merasmikan Hari Penyampaian Hadiah Sekolah Kebangsaan Seri Selangor pada petang semalam. Majlis yang dihadiri lebih 600 orang ibu bapa itu bertujuan untuk mengiktiraf pencapaian murid dalam bidang akademik dan kokurikulum.
         “Kita menghargai murid-murid yang bersungguh-sungguh belajar sehingga mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR. Kita juga menghargai kegigihan murid melibatkan diri dalam kegiatan kokurikulum. Kejayaan mereka tidak akan tercapai tanpa sokongan guru dan dorongan ibu bapa,” kata Datuk Zawawi ketika merasmikan majlis tersebut.
         Selain upacara penyampaian hadiah, tetamu dihidangkan dengan persembahan kebudayaan daripada murid-murid yang terdiri daripada pelbagai kaum. Tetamu terhibur melihat kecekapan murid-murid mempersembahkan tarian zapin, inang, dan persembahan koir.


Tiada ulasan:


Lokasi Sekolah