Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah memberikan tumpuan kepada kemahiran bahasa, iaitu Kemahiran Mendengar dan Bertutur, Kemahiran Membaca, dan Kemahiran Menulis. Kemahiran bahasa ini membolehkan murid menggunakan bahasa Melayu secara berkesan dalam kehidupan harian dan sebagai bahasa ilmu untuk pembelajaran seumur hidup bagi perhubungan sosial, pemerolehan ilmu serta bagi tujuan rekreasi. Sukatan pelajaran ini juga memberikan pertimbangan kepada pelbagai gaya pembelajaran, minat, dan kecerdasan yang berbeza di kalangan murid.
Sukatan Pelajaran memberikan gambaran menyeluruh tentang kurikulum Bahasa Melayu. Sukatan Pelajaran ini mengandung matlamat, objektif, dan organisasi kandungan. Organisasi kandungan merangkumi Kemahiran Bahasa, Hasil Pembelajaran, Sistem Bahasa, dan Pengisian Kurikulum
Matlamat Sukatan Pelajaran
Matlamat Kurikulum Bahasa Melayu Sekolah Rendah adalah untuk melengkapkan murid dengan keterampilan berbahasa dan berkomunikasi untuk memenuhi keperluan diri, memperoleh ilmu, perhubungan sosial, dan urusan harian
Objektif sukatan pelajaran
Pada akhir pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah murid dapat:
1. mendengar pengucapan dengan teliti dan memahami serta menghayati pengucapan dalam konteks perbualan harian dan situasi formal;
2. bertutur petah menggunakan sebutan dan intonasi yang betul dalam pelbagai situasi
3. berbincang dan berkongsi pendapat untuk menyelesaikan masalah, mencapai persetujuan, dan membuat keputusan tentang sesuatu perkara;
4. membaca pelbagai bahan sastera dan bahan berunsur pengetahuan menggunakan teknik membaca yang sesuai dan berkesan untuk memperoleh ilmu dan memproses maklumat secara kritis;
5. memupuk minat membaca sebagai satu amalan ke arah membina budaya pembelajaran berterusan;
6. memperkembang kekuatan imaginasi, kreativiti, pemikiran kritis, dan penghayatan nilai murni melalui aktiviti bertutur, membaca, dan menulis;
7. mengenali dan menghasilkan pelbagai jenis penulisan kreatif dan berunsur pengetahuan menggunakan kemahiran menulis serta proses penulisan yang sesuai dan betul;
8. menggunakan bahasa baku yang meliputi ejaan, kosa kata, tatabahasa,dan sebutan yang betul dalam aktiviti mendengar, bertutur, membaca, dan menulis;
9. menghargai dan menghayati keindahan bahasa melalui karya sastera dan karya berunsur ilmu; dan
10. menghayati dan mengamalkan nilai murni, sikap positif, semangat patriotisme , dan perasaan cinta akan negara.
Organisasi sukatan pelajaran
Kurikulum Bahasa Melayu Sekolah Rendah digubal dengan memberikan fokus kepada Hasil Pembelajaran yang perlu dikuasai oleh murid. Hasil Pembelajaran ini berteraskan kemahiran bahasa, iaitu Kemahiran Mendengar dan Bertutur, Kemahiran Membaca, dan Kemahiran Menulis. Hasil Pembelajaran juga menggabungkan peraturan dalam Sistem Bahasa dan disokong oleh elemen Pengisian Kurikulum.
Kemahiran Bahasa
Kemahiran Bahasa meliputi kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis. Kemahiran Bahasa merupakan teras penguasaan bahasa baku.
Kemahiran Mendengar
Kemahiran Mendengar merupakan keupayaan murid mendengar dengan teliti , memahami perkara yang didengar dalam pelbagai situasi pengucapan, serta dapat memberikan maklum balas.
Kemahiran Bertutur
Kemahiran Bertutur merupakan keupayaan murid berbual untuk menjalin hubungan dan menyampaikan maklumat, pendapat, perasaan, serta idea yang kritis dan kreatif dengan sebutan dan intonasi yang betul secara sopan. Penekanan diberi kepada penggunaan pengucapan yang menggunakan tatabahasa yang sesuai.
Kemahiran Membaca
Kemahiran Membaca merupakan keupayaan murid membaca ayat dengan lancar serta sebutan, intonasi, dan jeda yang betul. Penekanan perlu diberi kepada aspek pemahaman dan penaakulan pelbagai bahan secara kritis dengan menggunakan pelbagai teknik membaca.
Kemahiran Menulis
Kemahiran Menulis merupakan keupayaan murid menulis perkataan dan ayat dan mengeluarkan idea melalui pelbagai jenis penulisan yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi yang telah dilalui dengan menggunakan ayat yang gramatis, tanda baca dan ejaan yang betul, serta tulisan yang jelas, cantik, dan kemas. Murid juga digalakkan menggunakan kreativiti mereka untuk menghasilkan penulisan bahan berunsur pengetahuan dan penulisan imaginatif. Penguasaan kemahiran bahasa memerlukan kepelbagaian situasi dan konteks yang meliputi bentuk prosa, puisi, dan grafik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan