Pusat Perkembangan Kurikulum

10 Julai 2011

Rukun Negara


Prinsip Rukun Negara dihasilkan setelah melihat pepecahan yang berlaku angkara tragedi 13 Mei 1969. Tragedi hitam itu turut melanda beberapa lokasi di Kuala Lumpur. Kita harus melihat sejarah walau sepahit mana pun sejarah itu sebagai penawar untuk langkah-langkah kita yang akan datang.

Oleh itu dengan terhasilnya Rukun Negara yang lahir hasil pemikiran Majlis Perundingan Negara (MAPEN) yang dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak selepas tragedi itu bertujuan untuk menyatukan semua kaum di bawah satu ideologi kenegaraan yang sama dan bersepadu. Rukun Negara harus menjadi panduan kepada setiap rakyat negara ini dan perlu diteruskan bagi melahirkan rakyat yang berkualiti dan bersatu dalam satu kesepaduan.

Kesedaran rakyat berbilang kaum tentang hidup dalam suasana harmoni perlu ditekankan agar setiap rakyat tidak bertindak mengikut prinsip tertentu atas dasar politik, agama mahu pun bangsa. Kehidupan tidak harmoni yang telah diterapkan kesan penjajahan British dan Jepun telah memberikan kesan yang cukup mendalam pada negara kecil ini. Dasar pecah dan perintah telah merosakkan usaha untuk mengharmonikan rakyat Malaysia. Justeru, rakyat perlu kembali disedarkan bahawa wujudnya nilai-nilai yang menyeluruh kea rah perpaduan dan persefahaman kaum.


Maka Rukun Negara digariskan untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dalam melahirkan rakyat yang hidup aman dan damai walaupun berbeza bangsa dan agama. Masyarakat yang demokratik yang meletakkan kuasa di tangan rakyat dalam menentukan kerajaan menerusi pilihanraya yang bebas. Masyarakat yang adil dalam pengagihan kekayaan dan kemakmuran negara. Masyarakat yang progesif dalam mewujudkan warganegara yang berbudaya ilmu demi mewujudkan rakyat yang cukup pengetahuan untuk membangunkan negara. Masyarakat yang liberal yang diberikan kebebasan mengamalkan budaya kaum serta memelihara budaya kebangsaan.

Demi mengikat dan membina perasaan dan semangat cintakan negara di kalangan rakyat, Rukun Negara diisytiharkan secara rasminya oleh DYMM Yang Di Pertuan Agong pada 31 Ogos 1970. Usaha itu diteruskan untuk kekal sebagai panduan kepada rakyat di peringkat kebangsaan, negeri, daerah dan kampung.

Tiada ulasan:


Lokasi Sekolah