Sebagai
seorang penjaga, pendidik atau pekerja pada era ini, kebanyakan dari
kita memang tidak dapat lari daripada ungkapan-ungkapan berhubung
kepentingan kemahiran abad ke -21. Secara ringkasnya, pendidikan atau
pembelajaran abad ke-21 berkitar pada pendapat bahawa persekolahan
selama 150 lalu ialah ciptaan abad ke-19.
Persekolahan kita harus diubah seiring dengan permintaan ekonomi
terkini. Sekolah kemahiran dan pembelajaran yang direka untuk
menyediakan pelajar untuk bekerja dan hidup dalam ekonomi perindustrian
perlu pemikiran baharu.
Perubahan diperlukan untuk memenuhi keperluan masyarakat sekarang
yang banyak dipengaruhi oleh dunia yang dicorakkan oleh pembangunan
teknologi. Pemikiran ini merujuk pada pandangan bahawa pembelajaran
patut memanfaatkan teknologi untuk pedagogi terkini yang lebih prihatin
kepada ciri-ciri pelajar sekarang. Penekanan perubahan pendidikan yang
dimaksudkan mengaitkan kemahiran abad ke-21 dengan peranan teknologi
maklumat dan komunikasi (ICT).
Kebanyakan kemahiran abad ke-21 adalah berdasarkan kepada pendedahan terhadap ICT. Jika dahulu, literasi cuma merangkumi membaca, menulis, dan mengira, literasi abad ke-21 melibatkan literasi digital. Guru memainkan peranan utama dalam membimbing pelajar untuk melayari internet, mencari laman sesawang, memilih perisian yang sesuai dan mengumpul serta mengulas maklumat. Dengan bimbingan guru juga kesedaran global pada era digital sepatutnya mudah dicapai dan seharusnya meningkat.
Pembelajaran berasaskan projek (project-based learning) adalah satu pendekatan P&P yang boleh memupuk kemahiran tersebut. Topik-topik tertentu dalam mata pelajaran Sejarah dan Sains contohnya boleh diberi sebagai tugasan projek di mana pelajar perlu mendapatkan maklumat daripada pelbagai sumber.
Tugasan menerusi pembelajaran berasaskan projek juga menggalakkan
komunikasi interaktif. Pelajar berbincang dan berkongsi maklumat
mengenai projek bersama rakan dan guru secara bersemuka atau atas talian
menerusi pelbagai alat media sosial seperti e-mel, Facebook atau blog.
Sumber terbaik bagi membina kemahiran komunikasi interaktif seperti
kemahiran sosial dan peribadi, semangat berpasukan dan kolaborasi adalah
menerusi lima bentuk teknologi era digital iaitu mobility (bergerak)
seperti telefon pintar, connectivity (penyambungan) seperti WiFi,
rangkaian sosial seperti Facebook dan Twitter, enjin carian seperti
Google dan Yahoo, dan portal perkongsian maklumat seperti Wikipedia dan
YouTube.
Jelas sekali bahawa pembangunan abad ke-21 dalam kalangan pelajar
memerlukan perubahan pada pendekatan pendidikan. Perubahan ini boleh
berlaku di peringkat sekolah atau bilik darjah. Walau bagaimanapun,
perubahan di peringkat sekolah atau bilik darjah memerlukan kesedaran
dan kemahiran di kalangan guru dan pentadbir. Program pengurusan
perubahan dan kajian semula program latihan guru adalah perkara-perkara
asas yang perlu disediakan ke arah pendidikan, persekolahan dan
kemahiran abad ke-21.
Sumber maklumat : Utusan Malaysia, 13 Mei 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan