Pusat Perkembangan Kurikulum

28 April 2011

Ujian Segak

Semua murid perlu menjalani ujian-ujian kecergasan fizikal yang dicadangkan dalam buku panduan ini. Prosedur dan teknik ujian hendaklah mengikut peringkat umur, keupayaan murid dan mengambilkira peralatan serta tempat ujian dijalankan. Umur murid dikira pada 1 hb. Januari untuk rujukan norma.

Ujian ini boleh dijalankan semasa atau di luar waktu pengajaran Pendidikan Jasmani. Ujian ini juga mesti dilengkapkan pada hari yang sama. Guru melatih murid terlebih dahulu dan murid digalakkan membuat ujian secara individu, bersama rakan atau keluarga mereka.  Ujian ini mesti dilengkapkan mengikut urutan secara berterusan.  Urutan item bateri ujian adalah seperti berikut;

1.            Naik Turun Bangku ( 3 minit )
2.            Tekan Tubi ( 1 minit )
3.            Ringkuk Tubi Separa (1 minit )
4.            Jangkauan Melunjur

Ukuran antropometrik untuk mendapatkan Indeks Jisim Badan perlu dibuat sebelum melakukan ujian ini.

Ujian yang dicadangkan ini boleh digunakan sebagai aktiviti latihan kecergasan. Ujian ini perlu dilaksanakan dua kali setahun pada bulan Mac dan Ogos.

Bagi murid yang tidak sihat, guru boleh menjalankan ujian pada hari yang lain pada bulan yang sama.

Persediaan
1.     Murid telah berlatih secukupnya sebelum menjalani ujian, khasnya dalam latihan aerobik.
2.     Murid mesti melakukan aktiviti memanaskan badan secukupnya sebelum menjalani ujian.

03 April 2011

Menulis Karangan Bahasa Melayu


Sebelum Menulis Karangan
1. Calon hendaklah membaca dan memahami soalan yang diberikan.
2. Pastikan calon memahami kehendak soalan, tajuk, dan bentuk karangan yang
hendak ditulis.
3. Kegagalan calon memahami kehendak soalan, tajuk dan bentuk karangan yang hendak ditulis menyebabkan karangan kamu kekurangan isi dan mungkin akan terkeluar daripada tajuk.
4. Catatkan isi-isi penting yang hendak kamu tulis berdasarkan tajuk karangan.
5. Susun isi-isi penting tersebut mengikut keutamaan; isi yang paling penting hendaklah ditulis dahulu dikuti dengan isi yang kurang penting.

Semasa Menulis Karangan
Karangan yang baik mestilah mengandungi tiga bahagian utama:
i. Pendahuluan
ii. Isi
iii. Penutup 

i. Pendahuluan
1. Karangan kamu hendaklah dimulakan dengan pendahuluan dalam satu perengan sahaja.
2. Pendahuluan mestilah berkaitan dengan kehendak soalan dan ada daya penarik.
3. Perenggan pendahuluan adalah mencukupi dengan dua atau tiga baris ayat sahaja.
4. Jangan masukkan isi ke dalam perenggan pendahuluan. 

ii. Isi
1. Bahagian isi adalah bahagian yang terpenting dalam sesuatu karangan
2. Menurut kehendak peperiksaan, karangan kamu haruslah mempunyai empat isi utama. Setiap isi itu hendalah ditulis dalam satu perenggan yang berasingan.
3. Isi-isi penting haruslah diutamakan.
4. Kembangkan isi dalam bentuk perenggan dengan menggunakan ayat dan cerita yang menarik.
5. Isi adalah bahagian yang paling penting dalam sesebuah karangan. Oleh sebab itu, isi karangan calon mestilah ditulis dengan bahasa yang menarik dan mudah difahami.
6. Isi-isi yang diceritakan haruslah berkaitan dengan soalan.
7. Jangan ceritakan isi-isi secara meleret-leret dan tidak dapat diterima oleh akal. 

iii. Penutup
1. Setiap karangan haruslah mempunyai penutup
2. Penutup yang baik merupakan kesimpulan tentang apa yang telah kamu tuliskan sebelumnya.
3. Penutup juga tidak perlu ditulis dengan panjang lebar. dua atau tiga baris ayat sudah memadai. 

Sesudah Menulis Karangan?
1. Semak dan baca semula karangan kamu setelah selesai menulisnya.
2. Pastikan tiada isi penting yang tertinggal.
3. Cari kesilapan yang mungkin ada seperti kesalahan tatabahasa, penggunaan perkataan, ejaan dan tanda baca.
4. Betulkan setiap kesilapan tersebut.
5. Baiki tulisan yang buruk dan sukar dibaca 

CIRI-CIRI KARANGAN YANG BAIK
1.Ketepatan kehendak soalan dan  tajuk mestilah tepat, iaitu segala keterangan dan penjelasan serta contoh yang diberi mestilah tidak terkeluar daripada tajuk.
2. Setiap karangan mestilah mempunyai isi yang menepati maksud atau kehendak soalan. Sebuah karangan yang baik dan menepati kehendak pemeriksa mesti mempunyai empat isi utama.
3. Pendahuluan sesebuah karangan mestilah sesuai dengan isi dan menepati tajuk serta dapat menarik pembaca untuk membaca karangan itu sehingga selesai.
4. Isi karangan mestilah dikembangkan dengan baik. Isi yang mencukupi belum tentu dapat menjadikan karangan kamu itu menarik sekiranya kamu tidak pada menghuraikan isi-isi tersebut dengan baik.
5. Untuk bahagian penutup pula, kamu hendaklah menulis suatu kesimpulan yang kemas tentang karangan yang telah kamu tuliskan itu.
6. Penggunaan tatabahasa yang betul dalam karangan dapat mempengaruhi markah karangan kamu. Oleh itu, cara kamu membentuk ayat-ayat dalam karangan mestilah berpandukan tatabahasa yang betul.
7. Karangan kamu hendaklah menggambarkan bahawa penulisnya mempunyai fikiran atau pendapat yang matang.
8. Pengolahan karangan hendaklah menarik dan dapat memberi kesan kepada pembaca

Lokasi Sekolah