SEKOLAH KEBANGSAAN ST JOSEPH(M) PAPAR

10 Julai 2011

Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu

Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah memberikan tumpuan kepada  kemahiran  bahasa,  iaitu  Kemahiran  Mendengar  dan  Bertutur, Kemahiran  Membaca,   dan  Kemahiran   Menulis.   Kemahiran  bahasa  ini membolehkan murid menggunakan bahasa Melayu secara berkesan dalam kehidupan harian dan sebagai bahasa   ilmu untuk pembelajaran seumur hidup bagi perhubungan sosial, pemerolehan ilmu serta bagi  tujuan  rekreasi. Sukatan pelajaran ini  juga memberikan  pertimbangan kepada pelbagai gaya pembelajaran,  minat,  dan  kecerdasan  yang  berbeza   di  kalangan  murid.

            Sukatan Pelajaran memberikan  gambaran menyeluruh tentang kurikulum Bahasa Melayu. Sukatan Pelajaran ini mengandung  matlamat, objektif, dan organisasi  kandungan.  Organisasi  kandungan  merangkumi  Kemahiran Bahasa, Hasil Pembelajaran, Sistem Bahasa, dan Pengisian Kurikulum

Matlamat Sukatan Pelajaran
Matlamat  Kurikulum  Bahasa  Melayu  Sekolah  Rendah  adalah  untuk melengkapkan murid dengan keterampilan berbahasa dan berkomunikasi untuk memenuhi keperluan diri, memperoleh ilmu, perhubungan sosial, dan urusan harian

Objektif sukatan pelajaran
Pada akhir pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah murid dapat:

1. mendengar  pengucapan dengan teliti dan memahami serta menghayati pengucapan dalam konteks perbualan harian dan situasi formal;  
2.    bertutur  petah  menggunakan  sebutan  dan  intonasi  yang  betul  dalam pelbagai situasi 
3.    berbincang  dan  berkongsi  pendapat  untuk  menyelesaikan  masalah, mencapai persetujuan, dan membuat keputusan tentang sesuatu perkara;  
4.    membaca  pelbagai  bahan  sastera  dan  bahan  berunsur  pengetahuan menggunakan  teknik    membaca  yang  sesuai  dan  berkesan  untuk memperoleh ilmu dan memproses maklumat secara kritis; 
5.    memupuk  minat  membaca  sebagai  satu  amalan   ke  arah  membina budaya pembelajaran berterusan; 
6.    memperkembang  kekuatan  imaginasi,  kreativiti,  pemikiran  kritis,  dan penghayatan nilai murni melalui aktiviti bertutur, membaca, dan menulis; 
7.    mengenali  dan  menghasilkan  pelbagai    jenis  penulisan  kreatif  dan berunsur pengetahuan menggunakan kemahiran menulis serta proses penulisan yang sesuai dan betul; 
8.    menggunakan bahasa baku yang meliputi ejaan, kosa kata,  tatabahasa,dan sebutan  yang  betul dalam aktiviti mendengar, bertutur, membaca, dan menulis; 
9.    menghargai dan menghayati keindahan bahasa melalui karya sastera dan karya berunsur ilmu; dan 
10. menghayati  dan  mengamalkan  nilai  murni,  sikap  positif,  semangat patriotisme , dan perasaan cinta akan negara.



Organisasi sukatan pelajaran
Kurikulum Bahasa Melayu Sekolah Rendah   digubal dengan memberikan fokus  kepada  Hasil  Pembelajaran  yang  perlu  dikuasai  oleh  murid.  Hasil Pembelajaran ini berteraskan kemahiran bahasa, iaitu Kemahiran Mendengar dan  Bertutur,  Kemahiran  Membaca,  dan  Kemahiran  Menulis.  Hasil Pembelajaran juga menggabungkan peraturan dalam Sistem Bahasa dan disokong oleh elemen Pengisian Kurikulum.


 Kemahiran Bahasa
Kemahiran Bahasa meliputi kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis. Kemahiran Bahasa merupakan teras penguasaan bahasa baku.

Kemahiran  Mendengar
Kemahiran  Mendengar  merupakan    keupayaan  murid  mendengar dengan teliti ,  memahami perkara yang didengar dalam pelbagai situasi pengucapan, serta dapat memberikan maklum balas.

Kemahiran  Bertutur
Kemahiran Bertutur merupakan keupayaan murid berbual untuk menjalin hubungan dan   menyampaikan maklumat, pendapat, perasaan, serta idea   yang   kritis dan kreatif dengan sebutan dan intonasi yang betul secara sopan. Penekanan diberi  kepada  penggunaan pengucapan yang menggunakan tatabahasa yang sesuai.

Kemahiran  Membaca
Kemahiran  Membaca  merupakan  keupayaan  murid  membaca  ayat dengan lancar  serta sebutan, intonasi, dan jeda yang betul. Penekanan perlu diberi  kepada aspek pemahaman dan penaakulan pelbagai bahan secara kritis dengan menggunakan pelbagai teknik membaca.

Kemahiran  Menulis
Kemahiran Menulis merupakan   keupayaan murid menulis perkataan dan ayat dan mengeluarkan idea melalui pelbagai jenis penulisan yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi yang telah dilalui dengan menggunakan ayat yang gramatis, tanda baca dan  ejaan yang  betul,  serta  tulisan  yang  jelas,  cantik,  dan  kemas.  Murid  juga digalakkan menggunakan kreativiti mereka untuk menghasilkan penulisan bahan berunsur pengetahuan dan penulisan imaginatif. Penguasaan kemahiran bahasa memerlukan kepelbagaian situasi dan konteks yang meliputi bentuk prosa, puisi, dan grafik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan